Sunday 3 July 2016

SEBUAH JANJI - PERSAHABATAN

       Sebuah janji bukanlah mudah diukir dengan kata-kata . Janji yang diberi hanya untuk ditepati mahupun dimungkiri . Setiap insan mempunyai kehendak dan mempunyai keinginan untuk berjanji , tetapi belum pasti mereka berjaya untuk menepati janji mereka . Demikianlah juga berjanji dalam persahabatan . Persahabatan adalah perhubungan di antara setiap individu yang amat akrab hubungannya . Ada sesetengah golongan yang bersahabat sehingga ke akhirnya , namun ada juga yang terhenti di pertengahannya . Mengapakah perkara sedemikian berlaku ? Hal ini demikian kerana , janji-janji manis yang diluahkan disaat bermulanya persahabatan . William Shakespeare , iaitu seorang sasterawan Inggeris yang amat terkenal di seantero dunia pernah berkata " jika anda memiliki sahabat baik, tidak peduli berapa banyak kehidupan yang payah, mereka dapat membuat anda tertawa " .  Kata-kata William Shakespeare ini amat mendalam ertinya sekiranya dihayati dengan penuh perasaan . Antara maksud yang tersirat dalam kata-kata itu ialah , kita mestilah bijak memilih rakan agar kita tidak akan rasa disia-siakan . Sahabat yang baik akan menepati setiap janji yang berbentuk kata-kata yang diluahkan dari mulutnya . Jangan pernah sesekali tersilap dalam memilih rakan , kerana rakan merupakan antara insan yang amat penting dalam membentuk sahsiah dan peribadi seseorang . Janji hendaklah ditepati dan bukan dimungkiri . Untuk menjadi seorang sahabat yang baik , kita bukan sahaja perlu mengambil berat tentang sahabat kita , malah kita juga perlu untuk menunaikan janji-janji kita . Jangan berjanji sekiranya belum pasti untuk ditunaikan . Banyak janji-janji yang diluahkan , contohnya berjanji untuk setia hingga ke akhirnya . Namun begitu , lain pula yang berlaku disebaliknya . Janganlah pernah memberikan harapan palsu , dan jangan pula pernah memberi harapan yang berlebih-lebihan . Letakkan di minda dan di hati bahawa setiap pertemuaan pasti akan ada perpisahan . Semua yang kita rancang , tidak semestinya menjadi kerana Tuhanlah yang menentukan segala-galanya . Tidak kiralah sekiranya ada hubungan persahabatan ‘ bagai isi dengan kuku ‘ sekalipun , jika Tuhan mahu meregangkan hubungan mereka , maka reganglah hubungan persahabatan tersebut . Janganlah pernah berjanji , kerana memungkiri lebih mudah daripada menepati .
- Afdhal Afiq -